: DUNIA VS AKHIRAT :

Tuesday, 8 June 2010
Sebaris ayat daripada tafsir fi zilal yang sangat menyentuh saya pada hari ini.


"Taraf yang menyediakan manusia di dunia ini supaya sesuai dengan taraf nikmat-nikmat di akhirat"

Subhanallah. 

Baru minggu lepas berbicara dengan mereka tentang kehidupan dan kematian. Kehidupan manusia yang seharusnya merupakan fasa menyediakan diri untuk menjadi benih yang terbaik, kerana kelak saat kita menghadapi kematian dan ditanamkan (dikuburkan), biji benih (diri kita) yang kita telah usahakan itu kelak akan dicambahkan (dibangunkan untuk dihisab) kelak di akhirat.
Andai banyak di antara manusia yang berasa terkongkong dengan syariat Islam, merasa terkekang dan tidak dapat bergerak bebas mengikut hawa nafsu maka mereka seharusnya mengetahui, kekangan dan kongkongan itu merupakan suatu norma biasa dalam hidup kita pada setiap kali kita mahu mengubah kehidupan kita menjadi yang lebih baik.


Lihat saja, andai seseorang mahu kelihatan berada di kelas tinggi seperti orang-orang ternama, maka dia mesti mengikut segala protokol, tatasusila, etiket dan segala macam perkara berkaitan sesuai dengan masyarakat kelas tinggi. Mahu kelihatan cantik menarik saja, banyak perempuan tidak berkira soal mengekang dan mengongkong diri mereka untuk mengikut trend terkini, memastikan diri istiqamah memakan dan meminum segala macam supplement untuk membantu diri kelihatan cantik-anggun-ayu, mengawal diet, bersenam (di sekolah saya, cikgu-cikgu ini mengikuti kelas line dance. Kelas gitu!) dan mengorbankan wang dan masa untuk ke spa dan mall hampir setiap bulan. Benar, untuk menaik-taraf diri kita perlukan pengorbanan, dan pengorbanan itu terhasil bila adanya syarat-syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi bagi memastikan hasil yang diingini itu tercapai.


Lalu, segala apa yang telah digaris Allah yang Maha Kaya Pengetahuan-Nya kepada manusia di dunia ini adalah untuk menyediakan manusia agar bisa mencapai taraf yang dikehendaki di akhirat. Ah, mahu membayangkan syurga saja pun kita tidak mampu...lalu bagaimana dapat kita bayangkan setinggi mana kelas-kelas manusia yang bisa mencapai syurga, apatah lagi syurga Firdausi!


Syariat Islam itu tidak bersifat mengongkong dan bukanlah menyekat kebebasan manusia, tetapi merupakan kaedah untuk meningkatkan taraf manusia di dunia agar bisa mencapat taraf akhirat yang sudah tentunya punya standard yang cukup tinggi.


Andai perempuan-perempuan yang berlumba-lumba untuk memenangi beauty pageant saja sanggup mengikut segala macam protokol, berbahasa lunak lembut, bersopan santun, melambai lembut gemalai, memastikan muka tersenyum sentiasa walau hati tersiksa dan sebagainya...sanggup mengekang segala keinginan saat berada di hadapan kamera terutama di saat-saat akhir di atas pentas itu (kerana mungkin saat itu ada saja yang mahu menggaruk kegatalan, hendak bersin, hendak ketawa, hendak ke tandas...) tapi, mereka tetap mengekang segala perasaan dan kehendak itu., kerana mahu tetap kelihatan cukup standard seperti beauty pageant....maka bagaimana kita, andai mahu menjadi manusia yang layak sebagai ahli syurga? Seharusnya ada standardnya...dan nah, itulah yang digarisi oleh syariat Islam yang maha indah itu!


Kerana itu Islam itu datang dengan pakej sebagai cara hidup, harus diaplikasi secara syumul... secara seluruhnya di setiap aspek kehidupan termasuklah di celah yang paling seni sekalipun.


Islam hadir dengan syariat dan panduan, agar kita bisa membentuk diri menjadi benih yang paling baik. Bila ditanamkan kelak menumbuhkan pohon yang bisa menghasilkan buah yang paling manis dan bermanfaat di akhirat. Lagipula, matawang di akhirat kelak hanya menggunakan dosa dan pahala, bukannya sen dan ringgit. Lalu andai mahu membeli-belah semewah-mewahnya di akhirat, harusnya mula bijak membuat pelaburan...moga-moga punya matawang pahala yang lebih banyak, kan? =)

2 comments:

Elroui Majnoun said...

jazakillah sister..input mendalam~!!

Anonymous said...

good input and an interesting blog.. keep it up. may the rewards be with Him insyallah=)

Post a Comment