: SUDAH SIAP SIAGA MENJADI ISTERI?? :

Wednesday, 2 June 2010
Persediaannya perlulah ke arah yang Allah redhai!
 
http://langitilahi.com/ BY Hilal Asyraf 30th May 2010
 
Tempoh hari, saya menulis berkenaan bersedia menjadi suami. Respon daripada itu, beberapa pembaca perempuan telah membuat request agar saya menulis berkenaan persediaan menjadi isteri pula.

Sebenarnya, artikel bersedia menjadi suami itu untuk mengingatkan diri saya. Jadi rasa pelik pula bila nak tulis bersedia menjadi isteri. Sebab saya bukan perempuan.  Tapi saya tulis juga. Penulisan kali ini lebih kepada harapan saya buat wanita.
Biar nanti, dari tangan mereka terbina ummah yang hebatnya tiada tara.
Semoga perkongsian ini Allah redha.

Kesedaran yang perlu ada pada seorang perempuan

Apa yang istimewanya perempuan berbanding lelaki dalam hal kekeluargaan?
Satu perkara yang perempuan buat dan lelaki tidak akan dapat melakukan. Itulah dia melahirkan anak.

Saya kira, perkara terpenting untuk seorang perempuan adalah melihat tugasannya untuk menjadi ‘pengeluar’ kepada anak. Sebelum anak dilahirkan pula, dia menjadi ‘pengawal’ yang mengendong anak yang sedang terbentuk di dalam rahimnya itu selama 9 bulan 9 hari lebih kurang.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” Surah Luqman ayat 14.

Wahai perempuan, tidakkah kamu melihat itu?
Adakah itu satu perkara kecil?
Kadang-kadang, perempuan selalu melihat dirinya adalah puteri di sisi suaminya. Tetapi, selalu sahaja perempuan terlupa meletakkan dirinya bahawa dia akan menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Sudahkan anda berusaha untuk bersedia untuk memikul beban tanggungjawab?

Didikan semenjak sebelum lahir

Saya senang percaya bahawa didikan seorang anak itu bermula sebelum anak itu lahir lagi. Saya juga percaya bahawa keadaan seorang ibu banyak mempengaruhi anak.
Bagaimana agaknya ya, kalau Sang Ibu adalah seorang yang meninggalkan arahan Allah tanpa uzur sepanjang mengandung anaknya? Bercakap perkara yang buruk dan kotor sepanjang anak di dalam kandungannya? Melakukan dosa sepanjang anak itu terbentuk di dalam rahimnya?

Bagaimana agaknya ya?

Memang kita tidak menyebut: “Wahai anak, lakukanlah dosa”
 
Tetapi saya yakin, amal kita mempengaruhi anak.
Justeru, perempuan, tidakkah kalian melihat betapa kalian sudah mula perlu berusaha untuk bersedia dari sekarang untuk menempuh hari-hari itu?
Atau bila sudah mengandung baru belajar menyisihkan sikap buruk?
Dan bayangkanlah selepas anak lahir, kita tidak dapat lagi mengikis sikap buruk kita.
Bagaimana?

Maaf, tiada cuti

Satu hakikat yang perlu disedari dan difahami adalah, kehidupan berumah tangga tidak mempunyai cuti. Maka tanggungjawab seorang perempuan dalam menjadi Ibu dan Isteri tidak akan mempunyai cuti. Ia satu tanggungjawab sepanjang hayat.
Jadi, bagaimana agaknya hendak mengharungi kehidupan panjang menggalas tanggungjawab itu jika tidak berusaha dari sekarang untuk bersedia?

Boleh jawabkah?

Emosi semestinya akan digoncang oleh pelbagai ujian yang wujud dalam samudera rumah tangga. Kemudian bagi yang bermimpi-mimpikan suami kacak, maka anda nanti akan melihat suami anda selepas bangun tidur yang belum gosok gigi lagi bersama rambut berserabut. Jangan lupa anda akan berurusan juga dengan muntah dan najis anak.
Belum dikira tugasan kerja di tempat kerja, urusan dapur dan sebagainya. Ditambah juga dengan pendidikan anak, pendidikan diri, hendak melayan suami lagi dan sebagainya.
Dan semua itu akan berjalan tanpa cuti. Tiada cuti hujung minggu. Tiada cuti hari pekerja. Tiada cuti hari raya. Setiap masa, saat dan ketika, anda tetap seorang isteri dan seorang ibu dalam satu rumah tangga.

Bolehkah ianya dilaksanakan dengan baik tanpa usaha untuk bersedia dari sekarang?

Oh, jangan lupa bahawa anda adalah contoh

Pada saya, guru pertama manusia adalah sesiapa yang ada dengannya buat kali pertama dia menguak dunia. Jika lembu, maka lembulah dia. Jika harimau, maka harimaulah dia. Jika godzilla, maka godzillahlah dia.

Maka, didiklah diri berperangai seperti manusia yang Allah redha dari sekarang. Setahu saya, melainkan kes-kes terpencil, majoriti manusia itu memerlukan masa yang panjang untuk memperbaiki dirinya. Jadi agak susahlah kan kalau bila anak dah lahir, masa tu la baru sibuk nak baiki diri itu ini.

Memang kita bukan gorilla dan saya yakin anak kita tak akan jadi gorilla.
Tetapi kita manusia yang ada kebaikan dan kejahatan. Agak-agak sisi mana dalam kehidupan kita yang akan anak kita ikuti? Maka hendak tidak hendak, kita perlulah membuatkan sisi kebaikan itu bersinar terang dalam kehidupan kita dengan menjadikan sebagai darah daging kehidupan kita.

“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk Syurga dan tidak mendapatkan wanginya Syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Bayangkan ya kalau kita tak perkemaskan akhlak kita semenjak sekarang. Mulut dah biasa sangat mengumpat bila tak puas hati, maka kita mengumpat-umpat di hadapan anak kita. Mulut ni laju je menyumpah seranah bila rasa bengang, maka kita sumpah seranah di hadapan anak kita. Mulut suka sangat merungut itu dan ini, maka kita merungut-rungut di haadapan anak kita.

Anak tengok dan membesar dalam keadaan itu.

Bagaimana agaknya ya?

Itu belum dikira lagi kalau perangai kita tak melambangkan peribadi yang Allah redha. Pakai tudung tapi pakai pakaian ketat. Pakai tudung tapi pakai baju lengan sekerat. Tak pakai tudung, pakaian dedah aurat. Ditambah pula pakej mulut tak berlapik, suka merungut dan menyumpah seranah sahaja. Apatah pula yang adab pergaulan tak dijaga, berhubungan dengan ramai tanpa penjagaan yang sepatutnya?

Agak-agak, anak membesar bagaimana?

Maka, apakah kita dapat memenuhi tuntutan Allah SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 6?

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala);” Surah At-Tahrim ayat 6.

Memang kerja lelaki meluruskan wanita, tapi…

Saya terbaca blog rakan saya masa tadika, Asma’ Aminuddin berkenaan tanggungjawab lelaki yang perlu meluruskan wanita yang bengkok. Di dalam blognya, dia menulis bahawa, ada yang menyatakan ‘tak aci’ kepada lelaki yang hendak cari perempuan yang sudah ‘lurus’ sahaja. Tetapi Asma’ menyatakan bahawa, lelaki cari yang ‘lurus’, agar kehidupan rumah tangganya tidaklah bengkang bengkok masa hendak menjalankan proses pe’lurus’an seorang isteri.

Jadi Asma’ kata, hendaklah perempuan-perempuan berusaha meluruskan diri mereka sendiri masa bujang ni.

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” Surah An-Nuur ayat 26.

Memang tugas lelaki memimpin wanita, mendidik isteri dan mentarbiyahnya. Tetapi yang perlu disedari oleh isteri adalah, mereka akan mempunyai anak pula untuk ditarbiyah. Suami nantinya perlu mencari nafkah. Tambah pula bila isteri juga bekerja. Jadi masing-masing ada kesibukan masing-masing.

Baru hendak me’lurus’kan diri lepas kahwin?

Ha… Fikir-fikir panjang sikit.

Bukankah lebih mudah kalau dah usaha untuk ‘lurus’ dari sebelum kahwin?
Tidaklah pening kepala si suami. Nak tarbiyah anak lagi, nak cari nafkah lagi, isteri pun nak kena tarbiyah juga. Kan dah tak cukup tangan?

Penutup: Lebih Ibu dari Isteri

Mesti ada yang cakap, lebih baik tajuk post ini adalah Bersedia Menjadi Ibu berbanding bersedia menjadi isteri. Memandangkan, saya hanya menyentuh perihal hubungan isteri dengan suami sedikit sahaja.

Memang itu yang saya suka fokuskan. Kita selalu baca novel cinta, yang dibisingkan hubungan lelaki perempuan sahaja. Cinta suami isteri sahaja. Tetapi kita terlupa satu tanggungjawab besar di celah kemanisan cinta kita dengan pasangan kita.

Kita dan anak.

Bagi saya, mendidik anak adalah urusan terbesar seorang isteri kepada suaminya. Bukanlah maksudnya di sini suami tidak perlu mendidik anak. Tetapi lebihnya kepada isteri yang merupakan manusia pertama berhubung dengan anak semenjak dari awal proses kehadirannya ke dunia lagi.

Ketahuilah wahai perempuan, anda tidak dimuliakan oleh Islam hanya kerana anda adalah perempuan. Tetapi anda dimuliakan adalah kerana perempuan itu mempunyai tanggungjawab besar dalam membina ummah.

Bagaimana perempuan mempunyai tanggungjawab besar dalam membina ummah?
Yakni dengan membina anak-anak mereka.
Tidakkah kalian melihat betapa besarnya tanggungjawab kalian?
Maka, mengapa tidak lagi kalian bergerak untuk berusaha mempersiapkan diri?


0 comments:

Post a Comment